Mesin Basuh
Cerita aku dan sebuah mesin basuh.
Mesin basuh adalah sebuah teknologi buatan manusia yang akan memudahkan urusan manusia dalam kerja-kerja mencuci pakaian bahkan mengeringkan pakaian. Keluargaku juga pernah mempunyai satu, malangnya teknologi buatan manusia itu tidak mampu untuk berjasa lebih lama daripada jangkaan hayatnya. Tambahan pula ianya rosak disebabkan rumahku sering dilanda banjir. Hampir tiap-tiap musim tengkujuh, rumahku tidak akan terlepas dari dinaiki air bah. Hal ini turut menyumbang kepada kerosakan. Sejak daripada itu, keluargaku tidak lagi membeli yang baru. Maka, aku dan adik-beradikku sejak kecil lagi dididik untuk membasuh baju sendiri secara manual. Bertahun-tahun lamanya sampai sekarang kami masih lagi basuh baju dengan tenaga tangan. Jika dulu, aku sering merungut meminta emakku untuk membeli sebuah mesin basuh tapi emak langsung tidak hiraukan permintaanku. Bukannya tidak mampu untuk membeli satu, namun emak tidak pernah mahu menerima cadanganku untuk membeli teknologi itu.
Memandangkan rumahku sering dinaiki air ketika banjir, aku tahu itu menjadi salah satu sebab kenapa emak tidak lagi mahu menggunakan perkhidmatan teknologi buatan itu selain daripada harganya yang berbeza mengikut jenama dan kecanggihannya. Bagi mematahkan usahaku yang sering merungut kepadanya, emak akan mengajak aku, adik beradik dan sepupu-sepapat yang lain untuk mandi sungai sambil membasuh baju. Di usia yang masih kecil sekitar 10 hingga 11 tahun, siapalah yang akan menolak jika diajak untuk mandi sungai. Padahal aku tidak tahu bahawa itu taktik emak untuk membuatkan aku lupa tentang mesin basuh dan memberikan aku sebuah kesenangan dan kegembiraan untuk mandi sungai sambil berpenat lelah membasuh kain menggunakan tenaga sendiri.
Apabila melangkahkan kaki ke alam universiti, barulah aku nampak dan tahu kenapa emak berdegil dan tidak mahu membeli mesin basuh malah melatih kami sejak kecil untuk basuh baju dengan tenaga sendiri. Buktinya, baru beberapa hari aku tinggal di kampus universiti, aku perasan bahawa aku seorang sahaja yang basuh baju pakai tangan tiap-tiap hari. Pelajar lain akan berebut menggunakan sebuah mesin basuh yang disediakan di Kolej dengan bayaran tiga ringgit sekali basuh. Sedangkan aku, bukan tidak mampu untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan tetapi bayarannya yang hanya menerima wang syiling menyebabkan aku tidak boleh menggunakannya. Biasalah pertama kali jejakkan kaki ke kolej, aku tidak tahu bahawa duit syiling itu penting untuk membasuh baju. Aku fikir, apabila di Universiti dengan teknologi kian pesat, kaedah pembayaran mesin basuh mungkin akan berbeza daripada yang lain misalnya menggunakan pembayaran melalui 'touch and go' dan sebagainya seperti di sesetengah universiti tempatan. Makanya, terpaksalah aku basuh baju dengan menggunakan kudrat dan tenaga sendiri. Perkara ini tidaklah menjadi beban buatku untuk membasuh baju pakai tangan kerana sejak kecil lagi aku sudah terbiasa, bahkan sampai sekarang rumahku di kampung masih tiada mesin basuh. Tetapi, apa yang membuatkan aku terkilan adalah aku pernah merungut dengan emakku untuk membeli mesin basuh suatu ketika dahulu, sekarang aku sangat-sangat bersyukur dengan kedegilan emak yang bertegas tidak mahu membeli mesin basuh dan mendidik kami untuk membasuh baju sendiri menjadikan aku sekarang adalah seseorang yang mampu berdikari.
Aku tahu ini bukanlah sesuatu yang harus aku banggakan kerana masih ramai lagi yang pernah dan selalu basuh baju pakai tangan. Apa yang cuba aku sampaikan adalah aku bersyukur sangat bahawa kehidupan yang sederhana dengan didikan yang sangat tegas daripada seorang emak benar-benar menjadikan aku seorang yang berdikari dan penuh sederhana. It is not about money, but about education and experience.
Dan ketahuilah bahawa sesebuah teknologi itu tidak akan kekal lama walau sebangga mana pun kita dengan teknologi buatan manusia itu. Ingatlah bahawa kekuatan dan kudrat manusia yang Allah bekalkan kepada kita jualah yang tidak ada tempoh hayat sehinggalah Allah menarik kembali segala nikmat dan pemberiannya.
Comments
Post a Comment